Halaman

Sabtu, 23 Julai 2011

CERMIN DIRI SENDIRI




Daripada Abu Hurairah r. a, bahawasanya Rasullullah SAW telah bersabda, maksudnya:

"Jika ada seseorang berkata: "Orang ramai sekarang ini sudah rosak", maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka." H. R. Muslim

Penerangan Hadis: Iman Nawawi ketika menulis hadis ini dalam kitab Riyadhus Shalihin, beliau memberi penjelasan seperti berikut:

"Larangan semacam di atas itu (larangan berkata orang ramai sudah rosak) adalah untuk orang yang mengucapkan sedemikian dengan tujuan rasa bangga pada diri sendiri ('ujub) sebab dirinya tidak rosak, dan dengan tujuan merendahkan orang lain dan merasa dirinya lebih mulia daripada mereka. Maka yang demikian ini HARAM".

"Adapun orang yang berkata seperti itu kerana ia melihat kurangnya perhatian orang ramai terhadap agama mereka serta didorong oleh perasaan sedih melihat yang di alami oleh mereka dan timbul daripada perasaan cemburu terhadap agama, maka perkataan ini tiada salahnya".

Hadis ini boleh menjadi peringatan kepada kita semua semasa membincang dan menghuraikan masalah-masalah umat Islam sekarang ini. Maka apabila kita membincangkan masalah-masalah umat Islam dewasa ini maka janganlah kita merasa 'ujub dengan diri kita sendiri, bahkan hendaklah kita menegur diri kita masing-masing dan jangan suka menuduh orang lain.

Walaupun hal kerosakan moral umat Islam dewasa ini diketengahkan biarlah pendedahan itu dalam bentuk yang sihat, dengan perasaan yang penuh belas kasihan dan rasa cemburu terhadap ugama, bukan dengan perasaan bangga diri dan memandang rendah kepada orang lain.

Tidak salah membincangkan kerosakan yang berlaku, namun jangan sampai menganggap diri kita 'perfect' dan orang lain tidak setanding dengan kita.

Mudah-mudahan ALLAH swt. dengan limpah kurnia Nya memberikan kepada kita rahmat, taufiq dan hidayah. AMIN

Riwayat: Muslim

Ciri-ciri Pelajar yang Cemerlang

Pengenalan 
Artikel ini memaparkan 9 sifat, ciri-ciri serta jati diri (keperibadian atau identiti diri) pelajar cemerlang yang diadun berdasarkan Abjad ABCDEFGHI, agar lebih mudah pelajar terapkan dalam diri dan sanubari.

Pelajar Cemerlang
Pelajar yang cemerlang bukan sahaja handal dalam akademik tetapi juga hebat akhlak serta kelakuannya. Mencapai keputusan cemerlang dalam akademik tanpa jati diri atau keperibadian cemerlang, belum cukup untuk membolehkan seseorang pelajar itu dianggap sebagai cemerlang. Kedua-dua kualiti utama tersebut mesti ada pada pelajar cemerlang.
Kualiti-kualiti pelajar cemerlang yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
Amanah
Pelajar yang cemerlang boleh dipercayai, jujur dan ikhlas dalam segala tindakannya. Ia sentiasa bercakap benar, tidak bohong, tidak menipu, tidak mencuri atau tidak mengambil hak orang lain. Ia sedar bahawa segala perbuatannya adalah diperhatikan oleh Allah S.W.T.. 


Bijak
Pelajar yang cemerlang bijak mengurus diri, menggunakan masa, serta sumber-sumber di sekelilingnya. Ia menggunakan masa hidupnya dengan sebaik-baiknya; melakukan hanya yang baik dan menjauhi perkara-perkara yang ditegah. Pelajar yang cemerlang juga sentiasa berusaha memperbaiki dirinya. Ia cenderung melakukan serta mempelajari perkara-perkara yang mendatangkan faedah.
Cergas 
 Pelajar yang cemerlang sentiasa menjaga kesihatan fizikal, minda dan emosi diri. Ianya juga menjaga pemakanan serta membuat latihan jasmani. Kebijaksanaannya dalam mengurus diri serta kecenderungan melakukan hanya aktiviti-aktiviti yang berfaedah membuatkan dirinya lebih berdisiplin, sihat, dan cergas. Ini juga menyebabkannya lebih tangkas dan aktif dalam aktiviti-aktiviti yang diceburinya.

 Dedikasi 
Pelajar yang cemerlang amat rajin, bersemangat tinggi serta komited dalam melaksanakan segala tugas dan tanggungjawabnya. Apa juga tugasannya, akan dilakukan dengan sepenuh hati. Pelajar yang cemerlang akan melakukan dengan penuh tanggungjawab dan iltizam apa juga perkara yang harus dilaksanakan ke arah dan untuk mencapai hasil yang terbaik. 



Elok 
Pelajar yang cemerlang baik dari segi penampilan diri, tuturkata dan perbuatan. Ia mempunyai perwatakan yang ceria, yakin dan senang didampingi. Ianya juga menjauhi diri daripada perbuatan maksiat. Ianya sedar bahawa mereka yang bergelumang dengan maksiat mempunyai jiwa yang resah. Hidup juga tidak diberkati Tuhan. 

Pelajar yang cemerlang menjadi contoh kepada pelajar yang lain, baik dari segi gerak-gerinya, fikiran dan percakapannya serta tindakan-tindakannya. Keelokan peribadinya disanjung baik oleh orang lain termasuk guru-guru, ibu-bapa serta keluarganya. 


Faham 
Pelajar yang cemerlang lebih banyak mendengar daripada bercakap. Sikapnya yang demikian, menyebabkan ia lebih banyak berfikir, menganalisa dan mengetahui sesuatu isu sebelum ianya memberi maklumbalas. Ingatannya juga kuat kerana ia mempunyai kualiti yang ingin benar-benar memahami apa yang didengar, dibaca, dilihat atau yang dipelajarinya.

Gigih 
Pelajar yang cemerlang sentiasa melakukan kerjanya dengan penuh minat dan tekun. Ia seronok belajar setiap mata pelajaran. Ianya juga pandai dan mudah menyesuaikan diri dengan semua guru yang mengajarnya. 


Hasrat
Pelajar yang cemerlang sentiasa menyimpan pada hati kecilnya suatu hasrat untuk menjadi manusia yang sangat berguna dan berjaya. Hasratnya untuk mencapai cita-cita atau impiannya itu memberikan suntikan motivasi kepadanya berusaha lebih bersungguh-sungguh untukmencapai kejayaan dalam kehidupannya.


Iman 
Pelajar yang cemerlang sentiasa taat kepada perintah Allah S.W.T. dan berusaha mencapai kejayaan selaras dengan tuntutan agama iaitu mengamalkan apa yang disuruh dan menjauhkan apa sahaja yang dilarang. Ianya juga mentaati ibubapa, pemimpin-pemimpin, guru-guru, undang-undang negara serta segala peraturan dan amalan yang harus diikuti.



Sekian. Semoga kita semua sentiasa mendapat keberkatan dari Allah SWT. Insya-Allah.

INFO: CARA BUNUH NYAMUK. Bunuh nyamuk di sekitar rumah versi genius. Cubalah.

Bahan-bahan : • 200 ml air • 50 gram gula merah • 1 gram ragi • botol plastik saiz besar Langkah-langkah: 1. Potong botol plastik ditengah-t...